Monday, July 6, 2009

Secebis ungkapan...

Segala pujian bagi Allah swt Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Agung. Yang menjadikan segala sesuatu dan segala peraturan mengikut kehendakNya. Tiada satupun fenomena yang berlaku di alam ini terlepas daripada keagungan penguasaanNya. Maha suci Allah yang menjadikan ciptaanNya itu indah dan dapat dinikmati oleh setiap makhluk yang bernyawa di muka bumi ini.

Selawat dan salam terhadap junjungan besar kita, Nabi dan Rasul yang Ummi, Muhammad saw yang selayaknya dan sewajibnya dicontohi dan diteladani oleh semua umat yang mahukan kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Setelah hampir sebulan lebih penulis pulang bercuti di negeri tercinta, selama itulah blog penulis sepi tanpa ‘posting’. Kenikmatan bersama keluarga benar-benar telah melenakan penulis. Namun begitu, alhamdulillah…keinginan jiwa penulis untuk bersama dalam gerak kerja Islam tidak pernah padam walaupun kadang-kala nampak agak lesu.

Beberapa kali terlibat dalam program telah merapatkan kembali hubungan penulis dengan beberapa sahabat lama dalam MSK di negeri Serambi Mekah. Penulis tidak menafikan, gerak kerja Islam di negeri ini amat hebat apatah lagi apabila tiba musim pilihanraya. Benarlah kata-kata sesetengah ‘oghe kelate’ bahawa hari yang paling penting bagi rakyat ‘kelate’ adalah hari raya dan musim pilihanraya..Hmm, sangat meriah. Rugi kalau tak balik time ni..

Tapi bagi penulis, yang paling penting adalah keikhlasan..Ikhlas kerana Allah. Jika kita tidak ikhlas, apapun tak jadi..betulkan?

Namun kali ini, penulis sebenarnya ingin menyatakan tentang perancangan. Adakala kita lupa untuk merancang menyebabkan masa kita berlalu begitu sahaja. Apatah lagi bila cuti panjang begini. Mungkin juga kita ada merancang, tetapi kurang usaha untuk merealisasikannya.

Seorang pujangga pernah menyebut, merancanglah untuk menuju hari muka kamu yang penuh mencabar dengan penuh wawasan dan sabar. Kata-kata ini dipetik dari buku ‘ Menjejak Kualiti Menjana Kecemerlangan’ karangan Mohd. Yusof Hj. Othman.

· Sekiranya kita tidak merancang untuk menjadi orang yang berilmu, bersediakah kita
untuk menjadi orang yang jahil?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk berjaya, bersediakah kita untuk gagal?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk maju, bersediakah kita untuk mundur?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk merdeka, bersediakah kita untuk dijajah?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk bahagia, bersediakah kita untuk menderita?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk beriman, bersediakah kita untuk menjadi kufur?
· Sekiranya kita tidak merancang untuk ke syurga, bersediakah kita untuk ke neraka?

Sama-samalah kita hayati dan cuba untuk realisasikannya..

No comments:

Inni Akhafullah