Sunday, August 23, 2009

Cahaya Makrifat Di Bulan Ramadhan

Petikan tausiyah, Syeikh Hj Ibrahim Mohamad asy-Syathari pada 4 Nov 2002.

Wahai para sahabatku...

Kita akan memasuki Ramadhan Al-Mubarak tidak lama lagi. Inilah bulan yang dirindui ahli ibadah, dan tidaklah orang-orang yang cinta kepada Allah melainkan kasih kepada bulan Ramadhan ini. Dan ahli-ahli ibadah, ahli-ahli zikrullah, mereka ini menunggu bulan Ramadhan ini dengan penuh kecintaan dan kasih sayang serta dengan penuh keasyikan. Mereka menunggu bulan ini dengan penuh kerinduan, kerana inilah bulan di mana diberi kenikmatan dan keberkatan yang tidak terhingga dan inilah bulan kasih sayang Allah dilimpahkan kepada umat Muhammad SAW.

Ramadhan adalah bulan yang diberi kenikmatan pahala yang berlipat kali ganda, di mana (maksud) pahala bagi ahli-ahli makrifatullah ialah cahaya-cahaya makrifat begitu mudah untuk ditembusi pada bulan ini. Ia bulan yang mudah untuk dibuka hijab oleh Allah swt.

Isikan bulan Ramadhan dengan sepenuhnya, jadikan bulan ini sebagai masa untuk beruzlah secara bersungguh-sungguh dengan mentawajjuhkan (penumpuan) kepada Allah swt. Nabi Muhammad SAW menghidupkan uzlah, berkhalwat sebanyak 20 hari setahun, 10 hari di bulan-bulan biasa dan 10 hari lagi di bulan Ramadhan. mengapa 10 hari di bulan Ramadhan? Kerana Ramadhan adalah bulan kasih sayang Allah, bulan penuh kelebihan dan keberkatan.

Jangan kita beribadah pada bulan Ramadhan sama dengan bulan-bulan yang lain. Cahayakan betul-betul hati kita dengan banyak mentawajjuhkan hati. Isikan malam-malam hari selain dengan ibadah tahajud, banyakkan istighfar dan selawat kepada Nabi SAW. Istighfar sebagai pembersih hati dan selawat pula sebagai pembuka hijab hati kita. Bila kita berselawat kepada Nabi, ia membuka hijab. Jangan berselawat dalam keadaan tidak hadir perasaan cinta kepada Baginda. Selawat biar berpuluh ribu satu hari kerana ia mengandungi rahsia besar dalam perjalanan menuju makrifatullah. Dan tidaklah orang-orang yang menuju kepada jalan Allah melainkan dengan selawat kepadaNya. Nabi Musa mendapat keampunan Allah dan ditambah ilmu dengan banyak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Al-Faqir Ilallah Syeikh Hj Ibrahim Mohamad asy-Syathari
http://www.irsyadtc.net

No comments:

Inni Akhafullah