Tuesday, February 17, 2009

Racun Dalam Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullah..

Alhamdulillah, akhirnya penulis berjaya membuka semula blog yang telah sekian lama meng 'hilang' dari alam maya. Bermula dengan terlupa password, ditambah dengan penulis yang ketiadaan idea untuk menulis dan semangat pun mulai pudar. Apatah lagi ketika itu dibebani dengan pelbagai assigment dan program. Lalu penulis melupakan sejenak usaha-usaha untuk 'mencari'. Akhirnya dengan bantuan seorang sahabat yang baik hati, blog penulis wujud semula dengan wajah yang baru.

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi,
Dari satu peristiwa demi peristiwa, kegagalan demi kegagalan, kesilapan demi kesilapan dan di sebalik segala kemanisan dan kepahitan yang tersembunyi dalam setiap lipatan sejarah kehidupan, rupa-rupanya terdampar 1001 hikmah, berupa pengertian yang cukup mendalam. Penulis sangat menyedari, hidup ini memang tidak dapat lari dari perjuangan. Perjuangan untuk mencari kehidupan yang sempurna, perjuangan untuk menjadi orang yang berilmu & beramal, perjuangan untuk menegakkan agama Allah di muka Bumi dan pelbagai lagi yang tak mampu penulis ungkapkan di sini. Akan tetapi ada orang selalu lupa, tentang perjuangan melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi . Termasuk juga diri penulis.

Hari-hari kita bermuhasabah, kita introspeksi diri kita untuk mencari titik kelemahan yang tersemadi dalam diri. Apabila kita berjaya menyelidiki kelemahan itu, pasti kita berusaha untuk mengubahnya. Namun terdapat juga sesuatu kelemahan, sifat atau penyakit itu tidak berjaya dirungkai oleh seseorang melainkan apabila diuji. Suka untuk penulis berkongsi satu cerita. Ada seorang yang kerjanya suka mem'provoke'..Dan ada suara yang menjawab,'' Ana tak lemah !''..Dan terdengar pula suara-suara lain,'' Enti ego!..Enti degil! "

Berdasarkan cerita pendek di atas, 'Ana' mungkin boleh dilabelkan sebagai seorang yang ego, degil dan berasa diri pandai. Mungkin selama ini 'Ana' juga tidak menyangka bahawa dirinya ego walaupun saban hari bermuhasabah. Oleh kerana perasaan 'curiosity' yang menggunung dalam jiwa, penulis tertarik untuk mengkaji sifat-sifat ego dan bagaimana ia boleh wujud dalam jiwa manusia. Dengan harapan, hasil kajian ini mampu dimanfaatkan sepenuhnya agar membawa cahaya perubahan kepada diri penulis khususnya, dan para pembaca amnya.

Menurut kajian penulis, ego adalah pengertian dalam bahasa moden. Istilah lainnya adalah sombong atau angkuh. Mengikut syariat Islam, iaitu takabbur, ertinya membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin (mazmumah) yang keji. Dosa dan kesalahan pertama yang dilakukan oleh makhluk Allah terhadap Allah swt ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam as sewaktu Allah memerintahkannya. Dia membesarkan diri lantaran merasakan dirinya lebih utama dan lebih mulia daripada Nabi Adam as.

Sifat ego adalah sifat semulajadi yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada jiwa manusia. Sifat ini lahir secara semulajadi bersama-sama dengan tubuh kasar manusia yang kemudian dibiarkan tanpa dididik hingga tumbuh menjadi subur. Sifat ego sukar diteka kewujudannya kerana ia tertanam jauh ke dalam jiwa. Kadang-kadang ia akan terserlah melalui penampilan, pergaulan, cara berkomunikasi dan mungkin boleh dilihat apabila dicabar. Oleh sebab itu, ada kalanya seseorang tidak mengetahui bahawa dia memiliki sifat ini. Tetapi, ada sesetengah orang pula menyedarinya, namun ego untuk mengaku bahawa dirinya ego. Di sinilah pentingnya peranan keluarga, sahabat atau orang-orang terdekat yang berada di sekitarnya untuk cuba memperbaiki dengan memberitahu kesilapannya secara jujur dan ikhlas.


Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat ego?
Di antaranya:

1. Suka memperkecilkan orang lain lebih-lebih lagi orang yang dipandang hina dan lebih rendah taraf darinya.

2. Susah menerima sebarang nasihat, teguran atau kritikan daripada orang lain terutama orang di bawahnya.
3. Bermegah dengan keistimewaan anugerah Allah kepadanya, seperti cantik, berjawatan tinggi, kaya, bijak, mahsyur, dipuji orang, keturunan baik dan sebagainya.
4. Suka marah-marah kepada orang atau membentak-bentak orang di khalayak ramai.
5. Rasa diri hebat, sempurna, kuat hingga membelakangkan kehebatan dan kebesaran Allah samasekali.
6. Suka bergaul dengan orang yang setaraf dengannya sahaja.
7. Pendapatnya sahaja yang betul dan mesti diterima, orang lain salah dan tidak penting.
8. Susah minta maaf dan senyum pada orang lain.
9. Tidak pernah fikir kesusahan orang , ia fikir kesenangannya sahaja.

Apakah ciri-ciri di atas ada pada kita? Kalau ada ertinya kita memiliki sifat sombong, dan kita dalam kemurkaan Allah. Kebanyakan manusia hari ini memiliki sifat-sifat ego yang tersendiri dan berbagai-bagai kategori keegoan yang menyelubungi hati nurani setiap insan. Sifat ego ini sebenarnya tidak baik untuk diri dan orang lain kerana ianya akan merosakkan minda dan ketenangan. Sedar atau tidak semua orang memiliki sifat ego, ada ego negatif dan ada juga yang positif. Contoh ego yang negatif adalah seperti yang tertera di atas. Manakala ego yang positif pula adalah..anda boleh berfikir sendiri. Ia sangat abstrak dan pelbagai dan setiap individu pasti ada persepsi serta pendirian yang tersendiri.

Ada individu yang memiliki semua ciri-ciri ini, ada yang separuh, ada yang memiliki satu atau dua sahaja, atau mungkin tidak ada langsung..perfect. Jika begitu, individu tersebut pastinya sudah mencapai kesempurnaan iman. Ya, tentunya tak lain dan tak bukan adalah akhlak dan keperibadian Nabi Muhammad saw. Manusia Agung yang maksum. Apa yang telah dipaparkan ini adalah berdasarkan pemerhatian penulis, pengalaman sendiri serta rujukan dari sumber-sumber lain. Terdapat banyak lagi pendapat serta maklumat lain yang tidak mampu penulis rungkaikan di sini. Bagi penulis, artikel yang tidak seberapa ini cukuplah sekadar dapat menyentuh mana-mana hati yang sedang melakukan penjernihan jiwa dengan cara meneliti kekurangan dan kelemahan diri serta racun jiwa yang membantutkan pembinaan akhlak dan sahsiah cemerlang dalam diri setiap insan.

Setiap kelemahan dan kesilapan adalah ujian daripada Allah swt. Allah ingin menguji bagaimana sabarnya kita untuk menerima kelemahan tersebut dan sejauhmana ketabahan kita untuk bangkit memperbaiki serta mengubah diri untuk menjadi insan yang lebih baik. Setiap masalah itu, pasti ada jalan penyelesaian. Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali mati. Untuk berubah tidak lain dan tidak bukan adalah mujahadatunnafsi..melawan hawa nafsu. Seperti yang penulis telah nyatakan pada awal artikel, perjuangan melawan hawa nafsu sangat sukar. Lebih sukar daripada berjuang di medan peperangan. Seterusnya, bagaimana cara untuk bermujahadah bagi mengikis sifat-sifat negatif ini akan dipaparkan dalam artikel akan datang.

Mana-mana sahabat seperjuangan yang mengenali diri penulis, terima kasih diucapkan. Teguran ikhlas dari kalian sangat dihargai. Sesungguhnya jiwa penulis sentiasa berpegang kepada satu kata-kata, "Sahabat yang baik itu adalah yang mengatakan kebaikan tentang diri sahabatnya. Namun, sahabat yang paling baik dan jujur adalah yang menunjukkan kesalahan yg dilakukan oleh sahabatnya". Semoga kita sama-sama mendapat manfaat.



1 comment:

ibnu Sharom said...

salam untuk pengetahuan tak tahulagi maklumat ii shoh atau tidak..
selama ini kita belaja segala adalah marah sombong, benci adalah mazmumah. Tetapi saya lebih sukan menggunakan marah, sombong, lembut suara dan sebagainya boleh dikelasifikasikan kepada dua perkara iaitu mazmumah dan mahmudah. Beerti marah ada mahmidah ada mazmumah. Saya lebih suka pendekatan ini bagi makluman penulis....
Rujuk sirah nabawiyyah dan lain2 dimana sikap negatif dalam manusia adanya mahmudah yg digunakan sesuai pada tempatnya.

Inni Akhafullah