Saturday, August 29, 2009

Kekasih Allah Yang Sejati

" Dan janganlah kamu seperti orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri". (Surah Al-Hasyr:19)

Sesungguhnya segala puji-pujian untuk Allah, tempat kami memuji dan memohon pertolongan, tempat kami meminta hidayah dan keampunan. Kami berlindung kepadaNya daripada kejahatan hawa nafsu kami dan daripada keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang telah diberi hidayah olehNya, maka dia tidak akan tersesat. Sesiapa yang telah disesatkan olehNya, maka tidak ada sesiapa yang dapat memberiNya hidayah.

"Pada saat aku (Anas) dan Rasulullah saw keluar dari masjid, tiba-tiba kami berjumpa seseorang di pintu masjid, dia bertanya: Wahai Rasulullah! Bilakah terjadinya hari kiamat itu? Lalu Baginda menjawab kepadanya: Apakah kamu sudah bersiap sedia menghadapi hari kiamat? Dia menjawab, dan seakan-akan tunduk sambil berkata: Aku belum bersedia dengan tidak melakukan banyak solat, tidak memberi derma dan tidak banyak berpuasa.Tetapi aku mencintai Allah swt dan RasulNya. Maka Baginda berkata: Nanti kamu akan bersama orang yang kamu cintai." (Imam Bukhari, hadis ke-6171, dalam kitab Fathul-Bari, juz.4, hal 2033; Imam Muslim, hadis ke-2639,juz.4, hal.2033:sedangkan pada riwayat ini, lafaznya adalah daripada Imam Muslim).

Seorang hamba banyak menimbulkan masalah dan melakukan kesalahan-kesalahan lain. Namun demikian, apabila cinta sejati yang hanya ditujukan kepada Allah dan RasulNya semata-mata telah bertapak dalam hati seorang hamba, maka rasa cinta tersebut akan dapat menyempurnakan perbuatannya yang penuh dengan kekurangan, malah mereka diberikan darjat yang tinggi di sisi Allah swt.

Cinta seorang hamba mampu menyucikan perbuatannya selagi perbuatan itu dilakukan dengan jumlah yang sedikit. Ini kerana, cinta mampu mendatangkan berkat bagi usaha atau perjuangan yang dilakukan secara sederhana.Tidak ada seorang manusia pun yang tidak memerlukan cinta, dan juga tiada seorang pun yang gigih berjuang walaupun lemah yang berasa bahagia tanpanya.

Sesungguhnya cinta merupakan perkara yang amat agung dan sesuatu yang mulia. Sesungguhnya cinta juga memiliki kedudukan tersendiri. Cinta seperti yang diucapkan oleh Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziah, merupakan satu keduduksn di mana ramai orang bersaing utk merebutnya.

Cinta merupakan kehidupan, apabila cinta itu hilang dari jiwa seseorang, maka dia bagaikan hidup dalam kematian. Cinta merupakan cahaya. Apabila cinta itu hilang dari hati seseorang, maka dia bagaikan berada di dalam laut kegelapan. Cinta merupakan ubat penawar, apabila cinta tiada dalam diri seseorang, maka hatinya akan ditimpa oleh pelbagai penyakit.
Sumber rujukan:
Kekasih Allah Yang Sejati tulisan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah

No comments:

Inni Akhafullah