Monday, September 29, 2008

Munajat Seorang Hamba

Bismillahirrahmanirrahim..

Ilahi!
Sudah kudengar segala seruan yang disampaikan kepadaku, maka timbullah minat dalam hatiku dalam mengerjakan seruanMu, perintah untuk kemaslahatan dan kesucianku. tetapi kedhaifan dan kelemahan selalu mendorongku ke jalan yang Engkau tidak sukai.

Tuhanku!
Amal yang aku kerjakan, amat kecil jika dibandingkan dengan besarnya ampunanMu. Kalau Tuhan hendak mencelakakanku, gelap jalan yang kutempuh, takkan ada sesiapapun yang berkuasa membantuku. Kalau Tuhan hendak memberiku malu, terbukalah rahsiaku, walau sehebat manapun aku cuba menyembunyikan. Kerana itu ya Tuhanku, sempurnakan awal hikmatMu hingga ke hujungnya, dan jangan Engkau cabut apa yang telah Engkau berikan.

Ya Tuhan yang telah memberiku pakaian cinta, yang selamanya tidak luntur dan usang. Engkau yang menjagaku dalam perjalanan dan diamku, maka berilah aku sedikit cahaya dari NurMu.

Amat banyak kesalahanku, aku mensia-siakan waktu dan lalai, padahal anugerahMu meliputi diriku. Aku sembunyikan dosaku dari mata makhluk, padahal Engkau selalu melihat dan memperhatikanku.

Seorang teman bertanya:"Esok bukankah hari raya? Mana pakaian yang telah engkau sediakan?

Aku menjawab:"Pakaianku sangat indah, pemberian daripada kecintaanku. Dua helai baju, yakni kemiskinan dan kesabaran. Di dalamnya tersimpan hati yang telah disucikan, yang memandang bahawa keramaian hari raya itu bercahaya, lantaran di sana terbentang nyata wajah kecintaanku, biarpun orang lain tidak melihatnya.

Pakaian apakah yang lebih indah dipakai di hari raya daripada pakaian pemberian kekasih, yang dipakai di hadapanNya? Tidak ada ertinya hari raya itu bagiku wahai Kekasih sekiranya cahayaMu tidak mampu kupandang.

Patutkah aku disebut seorang yang setia, kalau ada wajah lain yang kulihat dalam hari-hari sepiku? Mengapa aku masih tidak malu mengharap kasih sayangMu sedangkan aku masih tetap aku.Kadang-kadang aku putus harapan dari syurgaMu lantaran kutahu kejahilan diriku. Akan tetapi gementar segenap sendi tulangku apabila akalku memikirkan azab dan seksaMu.

Ilahi!

Sudah amat jauh tersesat perjalananku. Aku ingin pulang..ingin kembali mengetuk pintu ampunan dan rahmatMu. Engkau telah tahu kesalahanku sebelum aku meminta ampun. Satu dari AsmaMu ialah Maha Pengampun.Maka dengan itu, ampunilah aku. Berilah aku permata perhiasan yakni sentiasa mengingati Engkau. Berikan aku taufik dan hidayahMu. Tunjukkan jalan keselamatan bagiku serta ayah bonda dan keturunanku dan seluruh muslimin.

Selawat dan salam atas Nabi Muhammad saw, Nabi yang menyeru manusia supaya berlindung kepada agama yang membawa bahagia. Ya Tuhanku, Engkaulah kebahagiaan. Hidupkanlah kami dengan bahagia dan masukkan kami ke syurgaMu. Amat suci dan amat tinggi Engkau ya Tuhan, yang memiliki segenap kemuliaan dan keagungan.

Allahumma, Salli Wa Sallim'ala Saidina Wa Maulana Muhammad!

Amin...

No comments:

Inni Akhafullah